Masjid Quba'
1. | Masjid pertama di Madinah Munawwarah. Allah s.w.t memuji masjid ini dan orang yang mendirikan sembahyang di dalamnya dari kalangan penduduk Quba' dengan FirmanNya yang bermaksud: Kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). Nabi s.a.w telah bersabda kepada mereka: Apakah yang kamu lakukan sehingga Allah telah memperelokkan kamu dengan pujiannya? Mereka berkata: Kami telah menghimpunkan di antara batu dan air untuk bersuci. |
2. | Telah diceritakan bahawa Nabi s.a.w menziarahi Masjid Quba' pada tiap-tiap hari Sabtu dengan menaiki tunggangannya. Kadang-kadang baginda pergi ke sana pada hari Isnin. Sabda Nabi s.a.w lagi: Sesiapa yang bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya kemudian pergi ke masjid Quba' lalu mendirikan sembahyang di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. |
3. | Telah diriwayatkan juga bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengerjakan sembahyang di dalam masjid Quba' pada hari Isnin dan hari Khamis, Allah akan gantikan pahalanya dengan pahala ibadat Umrah. |