Skip to main content

Umrah : Rukun Umrah


Rukun bermaksud perkara-perkara yang mesti dilakukan untuk menjadikan umrah kita sah. Sekiranya tertinggal walaupun satu rukun, atau tidak dilakukan mengikut syarat-syarat yang sepatutnya, maka umrah itu tidak sah dan jemaah masih lagi dalam ihram dan wajib mematuhi segala larangan ihram walaupun telah kembali ke tanah air. Oleh itu rukun umrah adalah teramat penting untuk dijaga atau diperhatikan.

Rukun umrah ada lima iaitu:

1. Berniat ihram umrah
2. Tawaf Kaabah tujuh pusingan
3. Sai'e antara bukit safa dan bukit marwah
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib.

Huraian Rukun Umrah Secara Terperinci 

Rukun Umrah 1 – Niat Ihram

Seperti yang telah dijelaskan dalam entri yang terdahulu, setiap ibadah perlukan dimulai dengan niat. Oleh itu jemaah yang ingin melakukan umrah perlulah memasang niat ihram umrah di miqat (sempadan) yang telah ditetapkan.

Jika tidak berniat sehingga sampai waktu tawaf, maka umrahnya tidak sah. Tetapi jika berniat selepas melepasi sempadan / miqatnya, maka umrahnya tetap sah tetapi perlu membayar dam iaitu menyembelih seekor kibas / kambing. Jika dia tidak berkuasa, hendaklah ia berpuasa 10 hari iaitu 3 hari di Makkah dan 7 hari di tempatnya apabila ia sudah kembali ke tanah air. Jika tidak berupaya berpuasa sebab tua atau gastrik dsb, maka hendaklah ia bersedekah kepada fakir miskin sebanyak 1 cupak setiap hari selama 10 hari (jumlahnya 10 cupak). Jika tidak berkuasa juga, maka tertanggunglah di atas zimmahnya.

Di manakah miqat atau sempadan untuk berniat ihram? Ulasan mengenai miqat ini akan dibuat dalam entrinya yang tersendiri.

Rukun Umrah Ke-2 – Tawaf Mengelilingi Kaabah

Tawaf bermaksud mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali dengan syarat-syarat tertentu. Sekiranya syarat-syaratnya tidak dilaksanakan maka tawaf tersebut tidak sah, dan jika jemaah tersebut terus melakukan sai'e dan bergunting selepas itu, maka sai'e tidak sah dan dia masih lagi dalam ihram. Oleh itu berhati-hatilah ketika melakukan tawaf.




Dalam gambar kaabah di atas sudut yang sebelah kiri sekali ialah sudut hajar aswad iaitu poin rujukan untuk memulakan tawaf. Juga kelihatan pintu kaabah, maqam Ibrahim dan hijir Ismail (binaan yang  berbentuk ladam kuda bewarna putih di sebelah kanan). Ruang antara sudut hajar aswad dengan pintu kaabah di panggil multazam – tempat mustajab berdoa.

Syarat-Syarat Sah Tawaf (Mengikut Mazhab Syafie)

1. Suci daripada hadas besar dan hadas kecil (ada wuduk).

2. Suci daripada najis, sama ada pada pakaian, badan, dan tempat tawaf. Atau tidak menanggung najis seperti mendukung kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan, atau mendukung anak yang terkencing / buang air besar dalam pampers.

3. Menutup aurat seperti dalam solat (bagi wanita – seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan).

4. Tawaf mestilah dimulakan dari sudut hajar aswad.

5. Semasa tawaf sentiasa berwaspada supaya kaabah berada di sebelah kiri kita. Bahu kiri mestilah 90 darjah (lebih kurang sahaja) dengan kaabah. Jika bahu terpesong dari kaabah maka pusingan itu terbatal. Jemaah hendaklah mengulangi pusingan yang terbatal tersebut bermula dari tempat yang terbatal, atau mula semula dari sudut hajar aswad. Contoh: Jika dalam pusingan ke 4, badan kita dirempuh oleh seseorang dan badan kita berpusing, maka pusingan ke-4 itu dikira terbatal. Perlu ulang semula pusingan ke-4 sama ada dari sudut hajar aswad atau dari point badan berpusing tadi.

6. Sempurna 7 kali pusingan dengan yakin. Jika ragu-ragu, contohnya, adakah baru 6 pusingan atau sudah 7 kali pusingan. Maka di sini ambillah bilangan yang sedikit iaitu 6 pusingan dan tambahlah tawaf satu pusingan lagi untuk melengkapkannya menjadi 7 pusingan.

7. Tawaf itu dilakukan di dalam masjid dengan niat ibadah (tawaf) semata-mata. Tidak sah tawaf dengan niat mencari kawan (sebab sudah terpisah kerana bersesak-sesak), atau sambil tawaf sambil ambil gambar guna kamera handphone dsb. Jika hati memang meruntun untuk mengambil gambar kenang-kenangan, tunggulah selepas selesai semua rukun umrah – sehingga telah bergunting untuk tahallul – barulah pergi semula di hadapan kaabah untuk ambil gambar. Bab posing ambil gambar depan kaabah ni, pandai-pandailah lakukan. Kalau ternampak oleh pak Arab kamera anda mungkin akan dirampas. Tentang wajar atau tidak untuk berposing dihadapan kaabah ini, tanyalah hati anda sendiri. Niat kita sedari mula bagaimana?

8. Tidak menyentuh mana-mana bahagian kaabah walaupun bingkai kaabah yang dipanggil syazaruan dan tembuk Hijir Ismail atau Rukun Yamani. Sekali lagi sebagai contoh, sekiranya dalam bersesak-sesak badan kita terhimpit ke dinding kaabah walaupun badan tidak berpusing, maka pusingan tawaf tersebut dikira batal dan perlu diulang semula pusingan tersebut.

Sunat-sunat tawaf – dalam entri yang tersendiri.

Rukun Umrah ke-3 – Sai'e

Bermaksud berjalan antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh keliling dengan mengikut syarat-syaratnya. Bagi yang uzur, bolehlah menggunakan kerusi roda dsb. Sekarang ini sudah ada kerusi roda berkuasa bateri yang boleh dikendalikan sendiri oleh jemaah.


Gambar-1: Ke Babus Safa


Gambar-2: Bukit Safa – Tempat Permulaan Sai'e

Gambar-3: Masaa (Laluan Sai'e)


Gambar-4: Bukit Marwah (Tempat Sai'e Berakhir)

Syarat-Syarat Sai'e

1. Hendaklah dilakukan selepas tawaf yang sempurna.

2. Hendaklah dimulakan dari Safa hingga ke Marwah (dikira satu pusingan) dan seterusnya dari Marwah ke Safa (juga dikira satu pusingan). Jadi ada 4 kali perjalanan dari Safa ke Marwah, dan 3 kali perjalan dari Marwah ke Safa. Perjalanan sai'e yang pertama dan yang terakhir adalah dari Safa ke Marwah.

3. Hendaklah sampai ke tempat yang tinggi di Safa dan Marwah. Sekarang ini kawasan berbatu di bukit Safa telah ditutup dengan cermin kaca.




4. Tujuh kali dengan sempurna.

5. Sentiasa niat kerana ibadah umrah, tidak yang lain contoh mencari orang yang terpisah dari kumpulan (sambil bersai'e sambil hati berfikir mencari orang yang hilang tadi). Atau tidak bergambar semasa bersai'e.

6. Sai'e dilakukan di mas'a atau tempat bersai'e iaitu suatu kawasan yang berdinding yang telah dibina oleh kerajaan Arab Saudi.

Jadi untuk bersai'e tidak perlu ada wuduk. Badan boleh berpusing dsb. Tetapi niat sentiasa murni iaitu semata-mata bersai'e umrah sahaja.

Tidak ada sai'e SUNAT tetapi ibadah sai'e itu ada sunat-sunatnya.

Sunat-sunat sai'e – dalam suatu entri yang tersendiri

Rukum Umrah Ke-4 – Bergunting atau Bercukur Bagi Lelaki

Bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut atau afdal bercukur bagi lelakiselepas melakukan 7 kali sai'e dengan sempurna. 

Perlu diambil perhatian, di bukit Marwah ramai kanak-kanak Arab menawarkan diri untuk menggunting rambut jemaah. Mereka ini hanya bermotifkan mencari wang sahaja.  Berhati-hatilah supaya jangan menerima pelawaan mereka untuk menggunting rambut kita setiap kali tiba di bukit Marwah walaupun pusingan sai'e kita masih belum genap 7 kali pusingan.  Kadang-kadang tindakan mereka ini macam memaksa. 

Jika jamaah bergunting sebelum cukup sai'e 7 pusingan, maka jamaah belum bertahallul lagi dan masih dalam ihram serta dikenakan dam.  Dam yang dikenakan ialah menyembelih seekor kibas / kambing ATAU bersedekah kepada 6 orang fakir miskin sebanyak 2 cupak makanan tiap-tiap seorang ATAU berpuasa tiga hari.

Mereka yang tidak mempunyai rambut, hendaklah melalukan mata pisau cukur di atas kepala. Setelah bergunting / bercukur bererti seseorang itu telah bertahallul daripada ihram umrah dan telah bebas dari pantang larang ihram. Sekali umrah sekali bergunting.  Bergunting boleh dilakukan di bukit Marwah atau di kedai-kedai gunting berhampiran.

Rukun Umrah Ke-5 – Tertib

Tertib di sini bererti melakukan rukun secara berurutan satu persatu. Turutannya adalah seperti berikut:
Niat ihram – > Tawaf – > Sai'e – > Bergunting – >Tertib.

Kesimpulan:

1. Para jemaah perlulah mengambil berat tentang syarat-syarat sah setiap rukun umrah. Sebab ia membawa implikasi yang berat iaitu boleh menyebabkan umrah terbatal dan jemaah masih lagi dalam berihram.  Bermakna pantang larang ihram masih tertanggung olehnya walaupun sudah sampai ke tanah air.

2. Kesemua rukun tidak boleh diwakilkan kepada orang lain –  Ia perlu lakukan sendiri oleh jemaah walaupun terpaksa mengupah orang mengusung / menyorong kereta tolak untuk tawaf atau sai'e.


Kredit : Mohd Saad Hamid 
http://msaadhamid.blogspot.com


Kredit Foto: CL http://manzlie-makkah.blogspot.com/

Popular posts from this blog

Ibadah Umrah

Ibadah Umrah Ibadah Umrah Umrah ialah Haji kecil, ia diambil dari perkataan al-I'timar iaitu (ziarah). Orang yang mengerjakan Umrah akan berniat Ihram Umrah dari miqat, mengerjakan Tawaf Qudum, bersaie dan seterusnya bertahallul dari Ihramnya dengan bercukur atau bergunting. 1. Beriham Dari Miqat  Miqat Zamani:  Empat orang Imam telah bersependapat bahawa mengerjakan ibadat Umrah pada kesemua hari-hari di dalam setahun adalah harus kecuali lima hari mengikut pendapat Imam Hanafi iaitu pada hari Arafah dan empat hari selepasnya. Mereka berpendapat mengerjakan ibadat Umrah pada hari-hari tersebut adalah makruh yang membawa kepada haram. Tanda Sempadan Tanah Haram: Tan'im : Jalan menuju ke Madinah sejauh 6 km dari Mekah. Wadi Nakhlah : Di timur laut sebelah Iraq dan jaraknya dengan Mekah sejauh 41 km. Ja'ranah : Di sebelah timur sejauh 16 km. Adhah : Jalan menuju ke Yaman dan jaraknya dengan Mekah sejauh 12 km. Hudaibiyah : Di sebelah barat jalan ke Jeddah dan d

Ibadah Haji

Ibadah Haji Haji Definisi Haji: Haji dari sudut bahasa: Menuju kepada Allah Yang Maha Agung. Haji dari sudut Syarak: Mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan ibadat Haji. Ia adalah pekerjaan-pekerjaan tertentu yang dikerjakan pada masa, tempat dan cara tertentu. Semua Mazhab bersependapat tentang definisi Haji. Haji Tamattu` Haji Tamattu' ialah berihram Umrah pada bulan-bulan Haji. Setelah selesai mengerjakan Umrah dan telahpun bertahalul, orang haji akan berniat Ihram Haji pada hari Tarwiah dan dia dikenakan menyembelih Dam. Haji Qiran Haji Qiran ialah berniat Umrah dan Haji secara serentak dan orang Haji tidak boleh bertahallul dari Ihram sebelum melontar Jamrah Aqabah serta bercukur atau bergunting. Dia dikenakan menyembelih Dam. Haji Ifrad Haji Ifrad ialah berniat Ihram Haji sahaja dari miqat kemudian hendaklah kekal di dalam Ihramnya sehingga ke hari Nahar (korban). Orang Haji yang mengerjakan Haji Ifrad tidak dikenakan Dam. Huku